Kuala Lumpur: Seorang individu tidak dikenali mendepositkan sejumlah
AS$30 juta (RM97.1 juta) ke akaun sebuah firma penyiasatan persendirian
di Jerman untuk diberi kepada mana-mana pihak yang dapat memberi bukti
dalang yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MAS penerbangan MH17
pada 17 Julai lalu.
Menurut laporan portal berita The Local edisi Jerman, wang tawaran
itu diserahkan kepada sebuah firma yang berpusat di Schleswig-Holstein
di Utara Jerman iaitu Wifka.
Wifka dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya,
kelmarin menyatakan penderma itu mahukan kepastian siapa yang
bertanggungjawab dalam memberikan arahan untuk menembak jatuh pesawat
itu dan senjata yang digunakan.
Wifka turut memberi jaminan bahawa orang yang mendedahkan kebenaran
itu akan diberikan identiti baru sebagai langkah perlindungan.
“Sesiapa yang memberikan bukti dalam mengenal pasti dalang kejadian
itu akan diberikan ganjaran sebanyak AS$30 juta. Wang hadiah itu kini
disimpan di Zurich, Switzerland,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut sejak kejadian di Timur Ukraine yang
mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu semua mangsa memerlukan
pembelaan dan masyarakat antarabangsa mahukan jawapan mengenai pihak
yang bertanggungjawab.-Lapor Harian Metro
No comments:
Post a Comment