"Everything Happens for A Reason-Allah Knows The Best."

Sunday 16 March 2014

MH370: Pencarian Masuk Minggu Kedua

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang masuk minggu kedua, dengan pengesahan bahawa penerbangan yang tidak dikenali sebelum ini dikesan radar utama adalah Penerbangan MH370.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan akhbar di Sepang pada Sabtu bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asalnya menuju Beijing, China, dan terus hilang sejak Sabtu lepas.

Sekalipun laporan media menyatakan pesawat itu telah dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan tentang apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 itu melencong.

Pihak berkuasa dan pasukan penyiasat telah juga mendapat data baru berhubung komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit, dan ini membuka fasa baru operasi mencari, termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan mengkaji semula kerahan aset.

Hasil siasatan itu dipersetujui Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kedua-duanya berpangkalan di AS; Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom; dan pihak berkuasa Malaysia, yang menyiasat berasingan terhadap data yang sama.

Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit adalah di satu daripada dua koridor yang mungkin - utara atau selatan.

Yang pertama, koridor utara meliputi kawasan kira-kira antara sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga bahagian utara Thailand; atau kedua, koridor selatan meliputi kawasan kira-kira antara Indonesia hingga bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib juga mendedahkan menurut data baru, komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia 8 Mac, Sabtu.

Berikutan itu juga, pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan terhadap kru dan penumpang.

Setakat hari ini, 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi mencari.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan media antarabangsa bahawa Malaysia tidak prihatin terhadap keluarga penumpang MH370 dan kerana itu tidak menghantar wakil ke China. -Lapor Astro Awani

No comments:

Post a Comment